Sejarah Ba'alawi, Habib Palsu, dan Rabithah Alawiyah di Indonesia



Sejak kebelakangan ini, ramai dari kalangan pendakwah mula mendakwa diri mereka sebagai keturunan Nabi Muhammad  ï·º. Mereka meletakkan gelaran seperti "Sayyid" atau "Habib" untuk memaparkan diri mereka sebagai keturunan Rasulullah  ï·º. Namun, dapatan kajian mutakhir ini menunjukkan dengan jelas bahawa kebanyakkan dari nasab mereka ini terputus pada beberapa tokoh yang sebenarnya tidak wujud di dalam sejarah.


Keturunan Ba'alawi

Keturunan Ba'alawi adalah mereka yang menisbatkan nasabnya kepada Nabi Muhammad ï·º melalui jalur Sayyid Alawi bin Ubaidillah bin Ahmad al-Muhajir. Ahmad al-Muhajir, seorang tokoh dari Basrah, Iraq, berpindah ke Hadhramaut, Yaman pada tahun 317H (929M). Dari Hadhramaut, keturunan ini berkembang dan tersebar ke seluruh dunia, termasuk ke Nusantara, membawa dakwah dan budaya Islam.

Di Nusantara, keturunan Ba'alawi dikenali sebagai "habib" dan dihormati sebagai ulama serta pemimpin masyarakat. Mereka memainkan peranan besar dalam penyebaran Islam. Namun, isu berkaitan keaslian nasab sebahagian individu yang mengaku sebagai habib telah menjadi kontroversi.


Rabithah Alawiyah

Rabithah Alawiyah, sebuah organisasi yang ditubuhkan pada tahun 1928 di Indonesia, berfungsi untuk menjaga keaslian nasab Ba'alawi. Organisasi ini menyimpan rekod nasab keturunan Alawiyyin dan melakukan verifikasi untuk memastikan keabsahan keturunan tersebut. Pada tahun 2020, Rabithah Alawiyah mengeluarkan senarai 33 individu yang dianggap sebagai "habib palsu" kerana gagal membuktikan nasab mereka.


Kritikan Terhadap Nasab Ba'alawi

Antara tokoh yang menimbulkan kontroversi berkaitan isu nasab adalah KH Imaduddin Utsman al-Bantani. Beliau mempertikaikan keaslian dakwaan nasab keturunan Nabi oleh sebahagian habib di Indonesia. Berdasarkan kajian kitab-kitab nasab dari abad ke-5 hingga ke-9 Hijrah, beliau mendakwa bahawa nama leluhur habib di Indonesia tidak tersenarai dalam salasilah keturunan Nabi Muhammad ï·º yang sahih. Menurut beliau, dakwaan sebagai keturunan Nabi hanya mula muncul pada abad ke-9 Hijrah melalui kitab yang ditulis oleh leluhur mereka sendiri.

Menurut KH Imaduddin, dakwaan bahawa Ahmad al-Muhajir berhijrah dari Basrah ke Hadramaut pada tahun 317 Hijrah dianggap kurang kukuh kerana tiada bukti sejarah yang sahih. Beliau menekankan bahawa sumber-sumber utama dari abad ke-5 hingga ke-9 Hijrah tidak menyokong peristiwa hijrah tersebut. Malah, beliau turut meragui kesahihan hubungan nasab antara Ahmad al-Muhajir dan keturunannya, termasuk Ubaidillah yang sering dianggap sebagai leluhur utama Ba'alawi.

Pandangan ini membawa kesan yang signifikan terhadap keabsahan dakwaan keturunan Nabi Muhammad ï·º oleh sebahagian habib di Indonesia. KH Imaduddin berpendirian bahawa ramai habib di Indonesia masih belum dapat membuktikan hubungan darah mereka dengan Rasulullah ï·º secara ilmiah.

Pernyataan ini mengundang perdebatan besar dalam masyarakat. Ada yang menyokong pandangan KH Imaduddin atas dasar pentingnya ketelusan, manakala ada yang mempertahankan keaslian nasab Ba'alawi.


Kesimpulan

Sejarah Ba'alawi di Nusantara memperlihatkan sumbangan besar mereka dalam menyebarkan Islam. Namun, isu berkaitan keaslian nasab dan dakwaan palsu menuntut perhatian dan tindakan tegas untuk memastikan integriti serta menjaga kepercayaan masyarakat terhadap ulama dan pemimpin agama. Saranan penulis adalah wajar untuk kita berhati-hati supaya kita tidak mudah terikut-ikut mereka yang mendakwa diri sebagai keturunan Nabi tanpa pembuktian yang jelas.


Post a Comment

0 Comments